Tuesday 8 May 2012

Perlis tumpu empat aset utama untuk tarik pelancong


Perlis tumpu empat aset utama untuk tarik pelancong


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) bersama tetamu utama ketika melancarkan Promosi Masakan Perlis di Hotel Holiday Villa di Doha, Qatar, baru-baru ini.
DOHA (Qatar) 5 Mei - Perlis menumpukan kepada empat aset utama miliknya untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu, terutama dari Asia Barat sepanjang tahun ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dua daripada aset besar dimiliki negeri yang bersempadan dengan Thailand itu ialah agropelancongan dan ekopelancongan.
Selain kedua-dua aset tersebut titah baginda, Perlis juga mempunyai gelanggang sukan ternama tanah air seperti padang golf, gelanggang woodball selain bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia 2014.
Baginda bertitah, satu lagi aset pelancongan negeri yang terletak di utara Semenanjung itu ialah terkenal dengan pelbagai jenis makanan seperti laksa Kuala Perlis dan pulut mempelam.
"Dalam aspek agropelancongan, kita memiliki ladang anggur, ladang mempelam Harumanis, rimba herba dan ladang misai kucing di Sungai Batu Pahat di Kangar.
"Selain itu terdapat juga taman ular, pusat ekuin, taman burung, spa herba dan pusat konservasi hidupan liar," titah Raja Muda Perlis ketika melancarkan Promosi Masakan Perlis di Hotel Holiday Villa di sini, baru-baru ini.
Promosi tersebut mendapat sambutan hebat apabila ia bukan sahaja dihadiri orang ramai tetapi turut disertai duta-duta negara ASEAN diketuai oleh Duta Malaysia, Ahmad Jazri Mohd. Johar.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam Malaysia, Abdul Rahman Shaari.
Promosi masakan itu bukan sekadar menonjolkan keenakan pelbagai jenis makanan tradisional Perlis tetapi juga bertujuan memperkenalkan negeri itu sebagai destinasi pelancongan pilihan. -Mingguan


No comments:

Post a Comment