Friday 11 May 2012

Perlis laksana program pemuliharaan hutan



PADANG BESAR 10 Mei - Perlis merancang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan menerusi program penanaman pokok bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, penanaman pokok ini selaras dengan komitmen Perlis untuk memastikan keluasan tanah di negeri ini dilitupi kawasan pokok atau kawasan berhutan secara berkekalan.
''Sehingga kini, kira-kira 11,479 hektar daripada keluasan Perlis adalah kawasan berhutan dengan sejumlah 10,618 hektar adalah Hutan Simpanan Kekal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perhutanan Sedunia Ke-41 Tahun 2012 bertemakan 'Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat' Peringkat Negeri Perlis di Pusat Pemulihan Perlis, Jabatan Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Penguatkuasaan Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim dan Pengarah Perhutanan Negeri, Ridzuan Salleh.
Pada majlis itu juga dilancarkan buku bertajuk Tumbuhan Herba Negeri Perlis dan sumbangan anak pokok kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri Chuping.
Md. Isa berkata, sumbangan pokok dan kawasan hutan bukan sekadar menstabilkan iklim, mengawal sumber air, kesuburan tanah, mengurangkan kerosakan oleh banjir dan hakisan kepada tanah tetapi menyumbang jauh lebih daripada itu sejak berzaman.
Katanya, ini adalah sumber asli yang boleh diperbaharui dan banyak menyumbangkan kepada kesejahteraan masyarakat.
''Semua kawasan hijau ini akan menjadi stok karbon sebagai tempat riadah dan lain-lain aktiviti yang sihat untuk penduduk setempat di negeri ini," katanya.

Dipetik daripada www.utusan,com.my

No comments:

Post a Comment