Friday 11 May 2012

Raja Perlis Terima Menghadap Menteri Luar Singapura

KANGAR, 10 Mei (Bernama) -- Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Luar Singapura, Masagos Zulkifli di Istana Arau sempena lawatan rasmi menteri itu ke Perlis hari ini.

Masagos yang juga Menteri Dalam Negeri Singapura diiringi Pesuruhjaya Tinggi Singapura di negara ini, Ong Keng Yong, berada di Perlis sejak semalam dalam rangka lawatan rasmi ke Perlis dan Kedah selain Kuala Lumpur.

Semasa di Perlis, Masagos turut meninjau ladang anggur dan ladang mempelam harumanis di Sungai Batu Pahat di samping meninjau pembangunan industri ilmu di Perlis di samping teknologi hijau.

Pada majlis menghadap itu, Masagos memaklumkan kepada baginda bahawa beliau begitu tertarik dengan keindahan semula jadi Perlis yang menghijau dengan bukit-bukau yang indah.

Beliau juga tertarik mengenai teknologi bio-diesel yang dihasilkan menggunakan bahan plastik yang ditawarkan oleh syarikat Syngas Perlis selain pasaran harumanis di Singapura.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment