Tuesday 8 May 2012

Harumanis berkurangan

KANGAR 3 Mei - Pengeluaran mempelam harumanis di negeri ini mencatat penurunan pada musim ini dengan jumlah keseluruhan cuma 150 metrik tan berikutan perubahan cuaca sejak Disember tahun lalu sehingga Februari tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri, Sabry Ahmad memberitahu, berbanding musim lalu, pengeluaran harumanis mencatat jumlah yang besar iaitu 350 metrik tan disebabkan cuaca panas sepanjang tempoh tersebut.
"Harumanis di Perlis memerlukan cuaca panas dari Disember hingga Februari setiap tahun tetapi bagi musim ini, cuaca tidak menentu dengan kekerapan hujan menyebabkan putik bunga mempelam tersebut gugur sehingga menyebabkan pengeluarannya berkurangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pengumpulan Mempelam Harumanis, Jabatan Pertanian di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Menurut Sabry, berikutan kekurangan mempelam tersebut, kerajaan negeri menetapkan harga harumanis tidak kurang daripada RM12 sekilogram tetapi mungkin melebihi kadar tersebut di pasaran luar.
Mengenai eksport harumanis ke Jepun, beliau menjelaskan, jumlah eksport ke negara tersebut turut terjejas disebabkan masalah cuaca.
"Jika tahun lalu, Perlis mengeksport 2.24 tan harumanis ke Jepun namun pada tahun ini kita cuma mampu mengeskport 2.8 tan dengan harga di negara tersebut boleh mencapai sehingga RM60 sebiji," tambahnya.
Sementara itu, kata beliau, Harumanis Gold yang baru diperkenalkan mampu mempopularkan mempelam tersebut bukan sahaja di dalam malah di luar negara.
"Harumanis Gold berbeza daripada harumanis biasa kerana kulitnya kuning keemasan, aroma kuat dan rasanya pula lebih manis berbanding harumanis biasa berkulit hijau.
"Mempelam tersebut dihasilkan menerusi pembalut khas ke atas harumanis ketika ia berusia dua minggu yang menyebabkan kulitnya menjadi kuning keemasan, sehinggalah ia dipetik lapan minggu kemudian," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment