Saturday 31 March 2012

Perlis rancang lahirkan ramai penghafaz al-Quran


2012/03/25

KANGAR: Perlis akan melahirkan lebih banyak penghafaz al-Quran dan berharap umat Islam akan seiringan dengan kerajaan bagi merealisasikan hasrat itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Jafperi Othman. 

Beliau berkata, walaupun keperluan akademik menjadi buruan namun ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak mereka mendalami ilmu al-Quran serta menghafaznya supaya menjadi pegangan hidup.
"Al-Quran adalah pembimbing kehidupan malah ia juga merupakan benteng yang boleh menyekat umat Islam daripada terjebak kepada amalan tidak sihat pada zaman yang penuh cabaran ini," katanya ketika menutup dan menyampaikan hadiah tilawah menghafaz al-Quran peringkat negeri Perlis di Masjid Omar Al-Khatab, Guar Syed Alwi dekat sini, malam tadi.
Sebanyak 23 peserta menyertai tilawah itu membabitkan kategori 1 hingga 10 juzuk, 1 hingga 20 juzuk dan 1 hingga 30 juzuk. 

Pemenang ketiga-tiga kategori tersebut akan mewakili Perlis pada tilawah menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Dewan Warisan Negeri di sini pada 13 hingga 17 April ini. 

Sementara itu, Nuratiqah Hassan muncul johan kategori 1 hingga 30 juzuk dengan menerima hadiah wang tunai RM4,000 manakala kategori 1 hingga 20 juzuk yang membawa hadiah RM3,000 disandang oleh Mu'az Nadzarudin dan johan kategori 1 hingga 10 juzuk dimenangi oleh Ahmad Saiful Rahman Abdul Rahim dengan hadiah RM2,000. – BERNAMA

Mencari damai di tengah rimba


BOSAN dan penat melayari kehidupan yang sesak dengan kenderaan di tengah-tengah 'hutan batu' di kota metropolitan pasti akan membuatkan seseorang mahu mencari ketenangan di luar kawasan kota raya.
Justeru, pencarian kawasan percutian yang tenang seperti hutan rimba yang dipenuhi dengan flora dan fauna akan mula dilakukan.
Antara lokasi percutian yang mampu memenuhi keperluan percutian anda adalah Eagle Park Resort yang terletak di Jalan Sungai Batu Pahat, Perlis. Ia merupakan sebuah lokasi percutian yang lengkap dengan ciri-ciri yang diimpikan oleh setiap pengunjung.
Terletak di kawasan seluas kira-kira 10 hektar, Eagle Park Resort muncul sebagai satu-satunya resort rimba terbesar di utara Semenanjung sejak tiga tahun lalu.
Di sini, pengunjung dapat berehat sepenuhnya tanpa sebarang gangguan bunyi bising kenderaan. Lebih mengujakan apabila kawasan sekeliling resort 'meriah' dengan kicauan burung dan unggas hutan.
Selain itu, gemersik deruan air mengalir dari sebatang sungai yang terletak di dalam kawasan resort ini membuatkan pengunjung berat hati untuk meninggalkannya.
Lebih menarik resort ini menyediakan chalet, banglo dan asrama yang dibina di antara pokok-pokok dan berhampiran dengan sungai.
Melewati sepanjang resort ini membuatkan sesiapa sahaja seolah-olah seperti berada di sebuah perkampungan pada zaman dahulu di mana sekelilingnya dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok yang merimbun kehijauan, selain menyajikan aroma rimba yang menyegarkan.
Pengarah Urusan Eagle Park Resort, Mat Salim Mat Isa berkata, sekalipun resort ini terletak di dalam hutan, namun ia menjanjikan layanan sebaik hotel lima bintang.
''Kami mengalu-alukan tetamu sama ada yang datang untuk berehat bersama keluarga, rakan atau pun mana-mana syarikat yang ingin menganjurkan hari keluarga, seminar dan sebagainya," katanya.
Pengunjung boleh memilih untuk tinggal di chalet jenis standard, deluxe, villa, suite dan banglo royal suite yang bermula daripada harga RM90 hingga RM800 satu malam. Turut disediakan adalah penginapan jenis asrama untuk kumpulan ramai.
Menurut Mat Salim, antara kelebihan yang dimiliki resort ini adalah pengunjung berpeluang menikmati buah-buahan tempatan yang dipetik dari pokok hidup subur di dalam resort dan dusun berdekatan.
''Pengunjung juga berpeluang melawat Taman Herba, Ladang Anggur, Taman Ular, mandi-manda di Bukit Ayer atau bermain golf yang merupakan antara kemudahan terdapat berdekatan resort ini," katanya.
Kata beliau, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan barbeku untuk pengunjung yang mahu menganjurkan majlis itu bersama keluarga atau rakan-rakan.
Selain itu, turut disediakan kemudahan bagi melakukan aktiviti jungle tracking dan padang kawad.
Justeru, katanya, resort ini juga sesuai dijadikan sebagai lokasi untuk kem musim panas, ikhtiar hidup dan bina semangat.
''Resort ini juga menyediakan kemudahan untuk karaoke bersama hidangan bufet berharga RM10 setiap seorang mulai pukul 2 petang hingga 2 pagi, setiap hari," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Perlis termasuk meneroka Gua Kelam dan membeli-belah di Padang Besar.
Dalam pada itu, Mat Salim menggesa pihak berkuasa supaya menyediakan lampu jalan untuk masuk ke kawasan resort ini sejauh dua kilometer dari jalan besar Sungai Batu Pahat.
''Sudah tiga tahun, masalah ini dikemukakan tetapi sehingga kini masih tidak menunjukkan sebarang tanda kerana ia penting untuk kemudahan pengunjung yang melalui kawasan ini pada waktu malam," katanya.
Beliau berharap kemudahan itu dapat disediakan sejajar dengan hasrat pengurusan yang merancang untuk memperluaskan pasaran resort ini ke seluruh negara mulai tahun ini.

Perlis Optimis Kekang Kedah



Di atas kertas, Kedah yang turun berbekalkan kelebihan selaku tuan rumah pasti menjadi pilihan untuk mengungguli pertemuan pusingan kedua Piala FA berdepan Perlis di Stadium Darulaman, Alor Setar, Sabtu ini.
Namun, Perlis yang beraksi di pentas Liga Perdana berbanding Kedah mengakui tidak gentar malah bersedia melakar kejutan.
Ketua jurulatih Perlis, Abdullah Hassan berkata, perlawanan itu cukup penting buat kerana keputusannya akan menentukan siapa bakal beraksi di pusingan seterusnya.
“Kita akui perlawanan antara Kedah dan Perlis kali ini berbeza sama sekali dan saya sentiasa menasihatkan pemain supaya tidak perlu rasa rendah diri, sebaliknya memberi fokus sepenuhnya terhadap permainan kerana hanya kejayaan bakal menjamin tempat ke aksi seterusnya,” katanya.
Abdullah berkata, untuk memastikan pasukan memberikan cabaran kepada skuad lawan yang dikendalikan Wan Jamak Wan Hassan itu, sedikit rombakan mungkin dilakukan terutama di posisi pertahanan berikutan beberapa tonggak utama cedera.
Antaranya, pertahanan kanan dan kiri, Phul Sakh Lum dan Mohd Rozaidi Abdul Rahim.
“Saya percaya semua pemain yang diturunkan nanti sedar tanggungjawab masing-masing untuk memastikan perjuangan pasukan pada kempen Piala FA musim ini tidak berakhir setakat pusingan kedua saja.”

Pejabat Mufti Perlis diceroboh


2012/02/28
KANGAR: Pejabat Mufti Perlis yang terletak di Bangunan Datuk Mahmud Mat di sini diceroboh sekumpulan lelaki tengah hari semalam namun tiada petugas pejabat itu yang dicederakan.
Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, berkata kumpulan seramai antara enam dan tujuh individu berumur bawah 40 tahun itu dipercayai ahli kumpulan sesat yang tidak berpuas hati terhadap kenyataannya berkaitan kumpulan Qardiani.
Bercakap kepada pemberita di sini, Dr Juanda berkata, ketika kejadian jam 12.30 tengah hari itu, beliau tiada di pejabat kerana menghadiri Konvensyen Pendidikan Islam peringkat kebangsaan yang berlangsung di Dewan 2020 dekat sini.
Lima kakitangan pejabat itu cemas apabila kumpulan lelaki itu menceroboh bahagian pentadbiran dan bahagian fatwa sambil mengambil gambar dan membuat rakaman video tanpa kebenaran.
Dr Juanda berkata, kumpulan itu ingin menemuinya tanpa membuat sebarang temu janji dan memaksa petugas di pejabat itu supaya mempertemukan mereka dengannya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa lama kumpulan itu berada di pejabatnya.
Beliau percaya kejadian itu mungkin berpunca daripada kenyataan medianya berhubung kumpulan Qardiani yang difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan jawatankuasa fatwa negeri selain memprotes tindakan pihak berkuasa yang menahan seorang anggota kumpulan itu kerana menyebarkan ajaran Qardiani di sini, tahun lalu.
Dr Juanda berkata, ajaran Qardiani memang sudah lama diisytihar sesat iaitu sejak 1952 selepas mendapati pengikutnya tidak mengamalkan kehidupan sebagai umat Islam menyebabkan mereka tidak boleh berkahwin dengan orang Islam dan jika meninggal, tidak boleh dikuburkan di tanah perkuburan Islam.
Ajaran itu berasal dari Pakistan yang tidak mengakui Nabi Muhammad S.A.W sebagai Rasul yang terakhir, sebaliknya hanya sebagai nabi kerana mendakwa rasul terakhir ialah Mirza Ghulam Ahmad kelahiran Pakistan.
Malah, kata Dr Juanda, sejak tahun 1940-an lagi, ulama Islam seluruh dunia termasuk di India, Pakistan dan Indonesia meletakkan kumpulan Qardiani sebagai bukan Islam. – BERNAMA

Banjir Di Perlis Dijangka Diatasi Selepas 2014


March 7, 2012
KANGAR — Masalah banjir yang kerap melanda Perlis dijangka dapat diatasi apabila tiga projek tebatan banjir siap menjelang 2014, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup.
Beliau berkata projek itu ialah menaik taraf Sungai Arau, yang dilaksanakan bulan ini, menaik taraf empangan Timah Tasoh serta pembinaan lencongan barat bagi mengalirkan air empangan berkenaan ke Sungai Perlis dan terus ke laut.
“Kalau projek ini berjaya, adalah dianggarkan lebih 100,000 penduduk Perlis yang sebelum ini sering menerima bencana banjir semasa musim hujan, tidak lagi akan menghadapi masalah sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek itu daripada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Nishad Mohamed Mohd Shaffy di Empangan Timah Tasoh semalam.
Joseph, yang diiringi Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, kemudian melawat sekitar empangan itu sebelum ke Gua Kelam di Kaki Bukit.
Terdahulu, beliau dibawa meninjau Sungai Perlis yang memainkan peranan penting menerima limpahan air dari empangan sebelum mengalirkannya ke laut. — BERNAMA