BOSAN dan penat
melayari kehidupan yang sesak dengan kenderaan di tengah-tengah 'hutan batu' di
kota metropolitan pasti akan membuatkan seseorang mahu mencari ketenangan di
luar kawasan kota raya.
Justeru, pencarian
kawasan percutian yang tenang seperti hutan rimba yang dipenuhi dengan flora
dan fauna akan mula dilakukan.
Antara lokasi
percutian yang mampu memenuhi keperluan percutian anda adalah Eagle Park Resort
yang terletak di Jalan Sungai Batu Pahat, Perlis. Ia merupakan sebuah lokasi
percutian yang lengkap dengan ciri-ciri yang diimpikan oleh setiap pengunjung.
Terletak di kawasan
seluas kira-kira 10 hektar, Eagle Park Resort muncul sebagai satu-satunya
resort rimba terbesar di utara Semenanjung sejak tiga tahun lalu.
Di sini, pengunjung
dapat berehat sepenuhnya tanpa sebarang gangguan bunyi bising kenderaan. Lebih
mengujakan apabila kawasan sekeliling resort 'meriah' dengan kicauan burung dan
unggas hutan.
Selain itu, gemersik
deruan air mengalir dari sebatang sungai yang terletak di dalam kawasan resort
ini membuatkan pengunjung berat hati untuk meninggalkannya.
Lebih menarik resort
ini menyediakan chalet, banglo dan asrama yang dibina di antara pokok-pokok dan
berhampiran dengan sungai.
Melewati sepanjang
resort ini membuatkan sesiapa sahaja seolah-olah seperti berada di sebuah
perkampungan pada zaman dahulu di mana sekelilingnya dipenuhi dengan pelbagai
jenis pokok yang merimbun kehijauan, selain menyajikan aroma rimba yang
menyegarkan.
Pengarah Urusan Eagle
Park Resort, Mat Salim Mat Isa berkata, sekalipun resort ini terletak di dalam
hutan, namun ia menjanjikan layanan sebaik hotel lima bintang.
''Kami mengalu-alukan
tetamu sama ada yang datang untuk berehat bersama keluarga, rakan atau pun
mana-mana syarikat yang ingin menganjurkan hari keluarga, seminar dan
sebagainya," katanya.
Pengunjung boleh
memilih untuk tinggal di chalet jenis standard, deluxe, villa, suite dan banglo
royal suite yang bermula daripada harga RM90 hingga RM800 satu malam. Turut
disediakan adalah penginapan jenis asrama untuk kumpulan ramai.
Menurut Mat Salim,
antara kelebihan yang dimiliki resort ini adalah pengunjung berpeluang
menikmati buah-buahan tempatan yang dipetik dari pokok hidup subur di dalam
resort dan dusun berdekatan.
''Pengunjung juga
berpeluang melawat Taman Herba, Ladang Anggur, Taman Ular, mandi-manda di Bukit
Ayer atau bermain golf yang merupakan antara kemudahan terdapat berdekatan
resort ini," katanya.
Kata beliau, pihaknya
juga menyediakan perkhidmatan barbeku untuk pengunjung yang mahu menganjurkan
majlis itu bersama keluarga atau rakan-rakan.
Selain itu, turut
disediakan kemudahan bagi melakukan aktiviti jungle
tracking dan padang kawad.
Justeru, katanya,
resort ini juga sesuai dijadikan sebagai lokasi untuk kem musim panas, ikhtiar
hidup dan bina semangat.
''Resort ini juga
menyediakan kemudahan untuk karaoke bersama hidangan bufet berharga RM10 setiap
seorang mulai pukul 2 petang hingga 2 pagi, setiap hari," katanya.
Beliau berkata,
pihaknya juga menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Perlis
termasuk meneroka Gua Kelam dan membeli-belah di Padang Besar.
Dalam pada itu, Mat
Salim menggesa pihak berkuasa supaya menyediakan lampu jalan untuk masuk ke
kawasan resort ini sejauh dua kilometer dari jalan besar Sungai Batu Pahat.
''Sudah tiga tahun,
masalah ini dikemukakan tetapi sehingga kini masih tidak menunjukkan sebarang
tanda kerana ia penting untuk kemudahan pengunjung yang melalui kawasan ini
pada waktu malam," katanya.
Beliau berharap
kemudahan itu dapat disediakan sejajar dengan hasrat pengurusan yang merancang
untuk memperluaskan pasaran resort ini ke seluruh negara mulai tahun ini.
No comments:
Post a Comment