Friday 11 May 2012

Umat Islam Perlu Komited Terhadap Asnaf Terpinggir - Raja Muda Perlis


KANGAR: Nasib golongan asnaf yang terpinggir di Perlis akan lebih terbela jika umat Islam komited terhadap tanggungjawab masing-masing untuk membela golongan itu, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Jumaat. Sehubungan itu, baginda menggesa umat Islam supaya sentiasa memberi kerjasama melaporkan kes asnaf yang terpinggir kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui para amil untuk dibantu.
Bertitah pada majlis Hijrah Minda dan penyerahan wang sara hidup di Masjid Al-Ghofus, Padang Lati dekat sini hari ini, baginda bertitah pada masa ini, MAIPs mengeluarkan bantuan membina rumah pada kadar maksimum RM28,000 sebuah, bantuan membaiki rumah sehingga RM15,000, bantuan sara hidup RM300 serta bantuan bantuan bencana.
Baginda bertitah bantuan maksimum yang dikeluarkan bagi kerosakan harta benda akibat bencana ialah tidak lebih RM1,000, bantuan perlindungan sementara RM450 dan bantuan keperluan asas tidak lebih RM500.
Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah sejak Januari hingga April lepas, sebanyak RM504,000 dikeluarkan untuk membantu 18 asnaf mendirikan rumah baru manakala RM698,985 dikeluarkan sebagai bantuan membaiki 77 buah rumah.
Bagi tempoh yang sama juga, MAIPs mengeluarkan bantuan sara hidup sebanyak RM364,820 kepada 625 penerima dan bantuan pelajaran sebanyak RM482,700 kepada 498 pelajar.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Abdul Malik Hussin dan Pengerusi Baitulmal Perlis Datuk Abu Bakar Ahmad. -BERNAMA

BATTLE OF THE BAND HARI BELIA NEGARA NEGERI PERLIS


Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam satu belia..!! Berita baik untuk pemuzik-pemuzik Malaysia khasnya pemuzik dari negeri Perlis, Kedah, Penang dan Perak utara.. Satu pertandingan band akan diadakan di Felda Rimba Mas, Padang Besar Perlis sempena Hari Belia Negara Peringkat negeri Perlis.
Berikut adalah maklumat penuh berkaitan battle of the band Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perlis :


Hari : Sabtu
Tarikh : 19 Mei 2012
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang


Syarat untuk menyertai pertandingan tersebut boleh dilihat pada banner promosi di atas. (sila klik gambar untuk lihat lebih jelas)


kepada yang berminat, sila hubungi :


Encik izuan : 019 574 3422
Encik Azhar : 010 536 5452
Pej. Belia Perlis : 04 979 3505 / 3502

Read more: http://wancikgumuzik.blogspot.com/2012/05/battle-of-band-hari-belia-negara-negeri.html#ixzz1uZI9qqN2

UniMAP bantu Indonesia manfaatkan lumpur LUSI


KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan membantu Indonesia menyelesaikan masalah lumpur yang muncul daripada perut bumi di Sidoarjo, Surabaya tanpa henti sejak 2006 sehingga menelan sekurang-kurangnya 16 buah kampung.

Kumpulan penyelidik daripada Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau UniMAP yang diketuai Mohd Mustaffa Al Bakri berada di negara itu bagi menjalankan penyelidikan bagaimana memanfaatkan lumpur yang telah kering itu sebagai bahan binaan.
Ketika dihubungi Bernama semalam, beliau berkata UniMAP kini sedang bekerjasama dengan Petra Christian University (PCU) sejak September tahun lalu bagi menyelesai masalah lumpur yang dikenali sebagai Lumpur 
Sidoarjo (LUSI) itu.

Mohd Mustaffa berkata UniMAP mempunyai kepakaran terhadap pembangunan teknologi geopolimer dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin yang merupakan antara penyelidiknya melontarkan idea bagi membangunkan kerjasama penyelidikan geopolimer berasaskan lumpur itu.
“Kami dimaklumkan pada masa ini, pihak berkuasa tempatan Surabaya hanya menyalurkan lumpur ini terus kepada sungai yang berdekatan yang terus ke laut menyebabkan berlaku pencemaran sungai dan laut yang teruk,” katanya.

Menurutnya, atas dasar rasa tanggungjawab sosial universiti, UniMAP mengambil inisiatif untuk membangunkan 
produk bahan binaan berasaskan lumpur itu dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Sivil PCU.
“Kedua pihak kini dalam proses mempatenkan hasil penyelidikan sebelum dibentangkan kepada pihak berwajib di Indonesia,” katanya.

Antara hasil penyelidikan ialah menjadikan lumpur itu sebagai bahan untuk pembuatan bata konkrit, agregat tiruan dan bahan binaan ringan yang mana semua hasil ini mempunyai sifat-sifat yang sama dengan bahan binaan biasa.

Mohd Mustaffa berkata LUSI terjadi berikutan kerja-kerja penggerudian gas dari perut bumi dan ada juga yang berpendapat kehadiran lumpur itu disebabkan kesan daripada gempa bumi yang kuat bermagnitud 6.3 di Yogyakarta pada 27 Mei 2006 iaitu dua hari sebelum lumpur itu muncul ke permukaan bumi.
Ada yang berkata, ia berpunca daripada penggerudian minyak yang dikatakan ditemui di perut bumi Sidoarjo dan ketika kerja-kerja penggerudian itu, letupan besar berlaku dan lumpur panas memancut dari bawah tanah dan tidak dapat dihentikan sehingga kini.

Kejadian itu menyebabkan 30,000 penduduk terpaksa berpindah kerana lumpur LUSI ini telah merebak seluas 770 hektar dengan kedalaman 20 meter yang menenggelamkan sekurang-kurangnya 16 buah kampung.
“Letusan LUSI ini masih berterusan sehingga kini dan ada pakar berkaitan meramalkan perut bumi itu akan meluahkan lumpur secara berterusan sehingga 25 tahun atau lebih. Justeru UniMAP berharap jalinan kerjasama dan kepakaran yang kami miliki mampu mengurangkan masalah ini,” katanya.

Mohd Mustaffa berharap LUSI yang menghantui para penduduk tempatan akan menyuburkan keakraban hubungan dua hala Malaysia-Indonesia melalui kerjasama penyelidikan itu. — Bernama


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/05/10/unimap-bantu-indonesia-manfaatkan-lumpur-lusi/#ixzz1uZHDIPsL

Raja Perlis Terima Menghadap Menteri Luar Singapura

KANGAR, 10 Mei (Bernama) -- Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Luar Singapura, Masagos Zulkifli di Istana Arau sempena lawatan rasmi menteri itu ke Perlis hari ini.

Masagos yang juga Menteri Dalam Negeri Singapura diiringi Pesuruhjaya Tinggi Singapura di negara ini, Ong Keng Yong, berada di Perlis sejak semalam dalam rangka lawatan rasmi ke Perlis dan Kedah selain Kuala Lumpur.

Semasa di Perlis, Masagos turut meninjau ladang anggur dan ladang mempelam harumanis di Sungai Batu Pahat di samping meninjau pembangunan industri ilmu di Perlis di samping teknologi hijau.

Pada majlis menghadap itu, Masagos memaklumkan kepada baginda bahawa beliau begitu tertarik dengan keindahan semula jadi Perlis yang menghijau dengan bukit-bukau yang indah.

Beliau juga tertarik mengenai teknologi bio-diesel yang dihasilkan menggunakan bahan plastik yang ditawarkan oleh syarikat Syngas Perlis selain pasaran harumanis di Singapura.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

-- BERNAMA

Perlis laksana program pemuliharaan hutan



PADANG BESAR 10 Mei - Perlis merancang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan menerusi program penanaman pokok bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, penanaman pokok ini selaras dengan komitmen Perlis untuk memastikan keluasan tanah di negeri ini dilitupi kawasan pokok atau kawasan berhutan secara berkekalan.
''Sehingga kini, kira-kira 11,479 hektar daripada keluasan Perlis adalah kawasan berhutan dengan sejumlah 10,618 hektar adalah Hutan Simpanan Kekal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perhutanan Sedunia Ke-41 Tahun 2012 bertemakan 'Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat' Peringkat Negeri Perlis di Pusat Pemulihan Perlis, Jabatan Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Penguatkuasaan Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim dan Pengarah Perhutanan Negeri, Ridzuan Salleh.
Pada majlis itu juga dilancarkan buku bertajuk Tumbuhan Herba Negeri Perlis dan sumbangan anak pokok kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dewan Undangan Negeri Chuping.
Md. Isa berkata, sumbangan pokok dan kawasan hutan bukan sekadar menstabilkan iklim, mengawal sumber air, kesuburan tanah, mengurangkan kerosakan oleh banjir dan hakisan kepada tanah tetapi menyumbang jauh lebih daripada itu sejak berzaman.
Katanya, ini adalah sumber asli yang boleh diperbaharui dan banyak menyumbangkan kepada kesejahteraan masyarakat.
''Semua kawasan hijau ini akan menjadi stok karbon sebagai tempat riadah dan lain-lain aktiviti yang sihat untuk penduduk setempat di negeri ini," katanya.

Dipetik daripada www.utusan,com.my

Raja Muda Perlis mahu futsal jadi sukan wajib

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu sukan futsal menjadi wadah ke arah mengukuhkan ikatan silatulrahim di kalangan masyarakat majmuk.Justeru itu, baginda berharap futsal dijadikan sukan wajib di peringkat komuniti termasuk di peringkat kawasan dewan undangan negeri kerana ia merupakan sukan yang mudah dan kian diminati ramai.Bertitah pada penutupan kejohanan futsal anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) di sini hari ini, baginda berharap pemimpin komuniti turut mengembangkan sukan itu dengan menyalurkan idea kreatif yang boleh memikat penyertaan pelbagai peringkat.Raja Muda turut berharap kerajaan juga meningkatkan kemudahan sukan itu dan menyediakan platform supaya pemain dapat menionjolkan diri ke peringkat yang lebih tinggi.Baginda juga menasihati pengusaha gelanggang futsal supaya menyediakan ruang solat, bilik rehat dan rawat selain menyediakan pekerja terlatih dalam pertolongan cemas selain memperketatkan larangan merokok di gelanggang masing-masing.Sementara itu, sebanyak 102 pasukan menyertai kejohanan selama dua hari itu.- Bernama

Tuesday 8 May 2012

Harumanis berkurangan

KANGAR 3 Mei - Pengeluaran mempelam harumanis di negeri ini mencatat penurunan pada musim ini dengan jumlah keseluruhan cuma 150 metrik tan berikutan perubahan cuaca sejak Disember tahun lalu sehingga Februari tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri, Sabry Ahmad memberitahu, berbanding musim lalu, pengeluaran harumanis mencatat jumlah yang besar iaitu 350 metrik tan disebabkan cuaca panas sepanjang tempoh tersebut.
"Harumanis di Perlis memerlukan cuaca panas dari Disember hingga Februari setiap tahun tetapi bagi musim ini, cuaca tidak menentu dengan kekerapan hujan menyebabkan putik bunga mempelam tersebut gugur sehingga menyebabkan pengeluarannya berkurangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pengumpulan Mempelam Harumanis, Jabatan Pertanian di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat di sini hari ini.
Menurut Sabry, berikutan kekurangan mempelam tersebut, kerajaan negeri menetapkan harga harumanis tidak kurang daripada RM12 sekilogram tetapi mungkin melebihi kadar tersebut di pasaran luar.
Mengenai eksport harumanis ke Jepun, beliau menjelaskan, jumlah eksport ke negara tersebut turut terjejas disebabkan masalah cuaca.
"Jika tahun lalu, Perlis mengeksport 2.24 tan harumanis ke Jepun namun pada tahun ini kita cuma mampu mengeskport 2.8 tan dengan harga di negara tersebut boleh mencapai sehingga RM60 sebiji," tambahnya.
Sementara itu, kata beliau, Harumanis Gold yang baru diperkenalkan mampu mempopularkan mempelam tersebut bukan sahaja di dalam malah di luar negara.
"Harumanis Gold berbeza daripada harumanis biasa kerana kulitnya kuning keemasan, aroma kuat dan rasanya pula lebih manis berbanding harumanis biasa berkulit hijau.
"Mempelam tersebut dihasilkan menerusi pembalut khas ke atas harumanis ketika ia berusia dua minggu yang menyebabkan kulitnya menjadi kuning keemasan, sehinggalah ia dipetik lapan minggu kemudian," tambah beliau.