Sunday, 1 April 2012

UniMAP Terima Kunci Dua Bangunan Baru

( 8 Mar 2012 )
PAUH PUTRA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima dua lagi bangunan baru, yang akan menempatkan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) dan Pusat Latihan Kejuruteraan, di Kampus Tetap Pauh Putra, di sini.
Majlis Penyerahan Projek Pakej Empat Bangunan PPK Mikroelektronik dan Pusat Latihan Kejuruteraan itu diserahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR)Perlis, Azizan Ab. Rahman,  kepada Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin.
Prof Dr Kamarudin dalam ucapannya berkata, proses pemindahan bagi kedua-dua Pusat Pengajian dan Pusat Latihan Kejuruteraan itu akan bermula awal April ini.
Beliau amat berterima kasih kepada pihak JKR dan Konsortium Pauh Indah (KPI) di atas perlaksanaan projek ini walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan.
“Saya mengorbankan bangunan Canselori demi memberi keutamaan kepada bangunan pentadbiran dan kemudahan akademik di Pusat Pengajian demi kepentingan serta keselesaan anak-anak didik saya.
Namun itu adalah pengorbanan demi kebaikan dan amat berbaloi sekiranya anak didik saya dapat memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaiknya,”katanya.
Turut hadir, IR Shahriman Daud, Ketua Pasukan Projek Cawangan Kerja Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Dato’ Muhammad Yusof Mustafa, Pengarah Urusan Konsortium Pauh Indah dan Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP.
Katanya lagi, Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan merasmikan projek Kampus Tetap Pauh Putra pada awal April depan.
Beliau juga berharap agar pihak kontraktor dapat dapat meningkatkan lagi kualiti bagi kerja-kerja lanskap dalam tempoh dua tahun seperti penggantian pokok-pokok mati dan sebagainya.

Raja Muda Perlis mahu negeri jadi model pengurusan bencana

2012/03/25

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu Perlis yang sering menjadi sasaran banjir menjadi negeri model bagi pengurusan bencana. 

Baginda bertitah, sebagai sebuah negeri yang terdedah kepada banjir, rakyat tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi bencana, sebaliknya berusaha mempersiapkan diri dengan kaedah pengurusan bencana yang terbaik dan berkesan.
Ketika menutup Program Kesedaran Bencana peringkat Komuniti Negeri Perlis anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis di Tasoh Lake Resort and Retreat dekat sini, hari ini, baginda bertitah, rakyat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab menguruskan bencana kepada kerajaan semata-mata.
"Rakyat juga perlu mengambil segala langkah dan usaha untuk membendung, mengurangkan kesan kemusnahan dan bagi mencapai hasrat untuk menjadi sebuah negeri maju," titah baginda. 

Program dua hari itu disertai 450 peserta termasuk penduduk kampung Titi Tinggi Hilir, Sungai Buloh, Batu Bertangkup, Panggas Kecil, Panggas Besar serta Padang Melaka yang sering berhadapan dengan banjir. 

Di samping kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) menggerakkan beberapa inisiatif bagi memberi kesedaran berkaitan bencana melalui ceramah di sekolah, kampung dan masjid. 

Selain itu, YTSP juga memperkenalkan beberapa idea menghadapi bencana seperti penyediaan beg kecemasan dan catuan kecemasan kepada beberapa kampung yang sering dilanda banjir. 
"Dengan adanya kit kecemasan ini, maka dapatlah semua mangsa banjir untuk bertahan hidup bagi tempoh jangkamasa terhad sebelum bantuan sebenar tiba," titah Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Pengerusi YTSP. 

Baginda bertitah, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah juga sedang menggiatkan usaha mewujudkan kumpulan pembantu kecemasan dalam setiap rumah dan tempat kerja manakala Persatuan Radio Amatur Perlis sentiasa melakukan penambahbaikan dalam usaha menangani bencana melalui aspek perhubungan. 

Titah baginda bencana alam tidak boleh dielakkan tetapi rakyat boleh meminimumkan kadar korban jiwa dan kerosakkan melalui persiapan rapi bagi menghadapinya. 

"Sudah sampai masanya kita bertindak secara bermentaliti kelas pertama dan matang dalam menangani bencana alam yang melanda negeri kita ini," titah baginda. - BERNAMA 

KEJADIAN RIBUT DI KANGAR 20 BUAH RUMAH ROSAK

March 25, 2012
KEJADIAN RIBUT DI KANGAR | 20 BUAH RUMAH ROSAK,Lebih 20 buah rumah rosak terutama pada bahagian bumbung dalam kejadian ribut yang melanda sekitar bandar Kangar hari ini.Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika hujan lebat.Antara lokasi terjejas ialah Kampung Bakau dan Taman Hijrah di sini namunJKM masih menjalankan bancian dan nilai kerugian belum diketahui setakat ini.
Turut mengalami kerosakan ialah gerai-gerai makanan yang turut terbalik akibat angin kencang manakala beberapa batang pokok turut tumbang.Anggota-anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) masih bertungkus lumus mengalihkan pokok-pokok yang tumbang berhampiran jalan raya terutama berhampiran Padang Bandaran di sini.Akibat kejadian itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memotong sementara bekalan elektrik di kawasan terbabit demi keselamatan orang ramai.