Sunday 1 April 2012

UniMAP Terima Kunci Dua Bangunan Baru

( 8 Mar 2012 )
PAUH PUTRA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima dua lagi bangunan baru, yang akan menempatkan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) dan Pusat Latihan Kejuruteraan, di Kampus Tetap Pauh Putra, di sini.
Majlis Penyerahan Projek Pakej Empat Bangunan PPK Mikroelektronik dan Pusat Latihan Kejuruteraan itu diserahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR)Perlis, Azizan Ab. Rahman,  kepada Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin.
Prof Dr Kamarudin dalam ucapannya berkata, proses pemindahan bagi kedua-dua Pusat Pengajian dan Pusat Latihan Kejuruteraan itu akan bermula awal April ini.
Beliau amat berterima kasih kepada pihak JKR dan Konsortium Pauh Indah (KPI) di atas perlaksanaan projek ini walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan.
“Saya mengorbankan bangunan Canselori demi memberi keutamaan kepada bangunan pentadbiran dan kemudahan akademik di Pusat Pengajian demi kepentingan serta keselesaan anak-anak didik saya.
Namun itu adalah pengorbanan demi kebaikan dan amat berbaloi sekiranya anak didik saya dapat memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaiknya,”katanya.
Turut hadir, IR Shahriman Daud, Ketua Pasukan Projek Cawangan Kerja Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Dato’ Muhammad Yusof Mustafa, Pengarah Urusan Konsortium Pauh Indah dan Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP.
Katanya lagi, Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan merasmikan projek Kampus Tetap Pauh Putra pada awal April depan.
Beliau juga berharap agar pihak kontraktor dapat dapat meningkatkan lagi kualiti bagi kerja-kerja lanskap dalam tempoh dua tahun seperti penggantian pokok-pokok mati dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment