Tuesday 8 May 2012

Bomba Perlis selamatkan RM13.4 juta


KANGAR 5 Mei - Bomba Perlis berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM13,440,370 dalam kebakaran yang berlaku dari Januari hingga April tahun ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatnya, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, ia melibatkan harta benda bernilai RM9,515,170 di kawasan Kangar, Arau (RM380,200) dan Kuala Perlis (RM3,545,000).
"Jumlah keseluruhan kerugian akibat kebakaran pula RM852,100 iaitu bagi kawasan Kangar sebanyak RM311,900, Arau (RM382,500) dan di Kuala Perlis (RM157,700)," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Perlis di Persiaran Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Beliau berkata, 17 kejadian kebakaran berlaku dalam tempoh empat bulan tahun ini iaitu Januari lapan kes dan masing-masing tiga kes sepanjang Februari, Mac dan April.
Katanya, kebanyakannya melibatkan kebakaran pejabat (satu), rumah kediaman (enam), kedai (empat), sekolah (dua) dan kenderaan bermotor pula sebanyak empat kes.
Selain itu katanya, pihaknya juga telah mengenal pasti 17 kes yang menjadi punca kebakaran.
"Ia termasuk lapan kes akibat kegagalan sistem pendawaian elektrik, tiga kes kerana kegagalan fungsi peralatan elektrik, api terbuka atau bernyala (empat), api berbara (satu) dan permukaan berhaba tinggi (satu)," katanya.
Tambahnya, pihaknya juga mendapat 101 panggilan untuk kejadian kebakaran dan 71 panggilan menyelamat dalam sepanjang empat bulan pada tahun ini.

http://www.utusan.com.my

 

No comments:

Post a Comment